KUALA LUMPUR – Bekas penyampai radio (DJ), Ismahalil Hamzah menangis dan melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi di sini dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap pengasas `Bapakku FM’ itu selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Ismahalil, 50, didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini pada pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.
Berikutan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala Ismahalil diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.
Sebelum ini, Ismahalil yang merupakan saksi pembelaan pertama memberitahu mahkamah, bilik tingkat atas kediamannya di Jalan Semarak iaitu tempat dadah ditemukan ketika serbuan polis, bukan digunakannya secara eksklusif, sebaliknya turut diakses pihak lain.
Tertuduh menjelaskan, bilik tersebut digunakan sekumpulan deejay dan kru stesen radio swasta itu sebelum menunggu giliran untuk ‘on air’ selain menjadi ruang persinggahan pihak pengurusan kedai dan tetamu.
Menurutnya, bilik itu yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur kelamin bebas digunakan oleh para deejay untuk berehat, bersolat dan menyimpan barang peribadi seperti pakaian, beg galas dan komputer riba.
Sementara itu, isteri tertuduh, Nor Haslinda Abdul Manaf, 50, yang merupakan saksi pembelaan keempat ketika memberi keterangan menyatakan bilik berkenaan digunakan oleh pihak lain.
Bagaimanapun, dalam pernyataan kepada polis, saksi itu berkata, bilik tersebut hanya digunakan oleh suaminya untuk berehat.
Ujar wanita itu, kali terakhir bilik tersebut dikemas adalah pada 1 Ogos 2021. Dia tidak memasukinya selepas itu sehingga penangkapan suaminya pada 27 Ogos tahun sama.
Pada Februari lalu, Ismahalil diperintah membela diri atas pertuduhan itu.
Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan itu.
Hakim Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati terdapat 22 peket dadah yang dijumpai dalam bilik tertuduh berada dalam kawalan dan jagaannya. – KOSMO! ONLINE