SEPANG – Seorang ahli perniagaan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang jurutera tapak yang merupakan rakannya, sehingga mayat mangsa ditemui rentung di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kota Warisan, 28 Oktober lalu.
Tertuduh, P. Vijayan 42, mengangguk tanda faham selepas mendengar pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Ayuni Izzaty Sulaiman.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, P. Vijayan didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian , K. Seri Ganis Kanapathy Pillay, 42, di kawasan bersebelahan Jalan Airport City 2, Airport Business Centre Kota Warisan di dalam daerah Sepang antara pukul 2.38 pagi hingga 4.50 pagi pada 28 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
Majistret kemudiannya menetapkan 8 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Kes telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh yang memakai pakaian lokap bewarna oren dengan keadaan kedua-dua pergelangan tangan dan kaki kirinya berbalut hadir kira-kira pukul 8.45 pagi ke mahkamah diiringi polis.
Kelihatan, keluarga tertuduh turut hadir di mahkamah semasa prosiding berlangsung.
Kosmo! 29 September lalu melaporkan seorang penumpang kenderaan SUV rentung selepas kenderaan dinaikinya terbakar di kawasan semak bersebelahan Jalan Airport City 2 dekat Kota Warisan.
Polis kemudianya telah menahan tiga lelaki berusia 37, 42 dan 24 tahun bagi membantu siasatan ke atas kes mayat yang ditemukan rentung. – K! ONLINE