fbpx

Gadis Kampus: Ibu insan terpenting, atur kehidupan Zulaikha Alfia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAI anak tunggal, Fia mengakui bahawa ibunya memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian termasuk membuat keputusan dari segi warna pakaian, cara pemakaian dan banyak lagi.

MEMBESAR sebagai anak tunggal membuatkan Zulaikha Alfia Mohammed Zafariney, 24, manja dengan kedua-dua orang tuanya terutamanya ibu.

Maka tidak hairanlah, ibunya, Norzaitul Ramlee banyak membantu dia membuat pilihan dalam hidup.

Begitu juga dalam aspek pelajaran, gadis yang mesra dengan panggilan Fia itu menjelaskan, ibunya juga membantu dia memilih jurusan untuk menyambungkan pengajian.

“Sejujurnya setelah tamat alam persekolahan, saya tidak ada hala tuju untuk menyambung pengajian peringkat seterusnya.

“Ini memandangkan saya anak tunggal, tiada abang atau kakak untuk dijadikan rujukan.

“Ibu yang membantu saya dalam hal ini. Dia memberi nasihat kepada saya untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.

“Ibu memberitahu, hasil pemerhatian masih kurang jurutera wanita di Malaysia.

“Jadi, dia mahu saya membina kerjaya dalam bidang tersebut,” ujar gadis berasal dari Kuching, Sarawak itu.

Bagi memenuhi hasrat ibu tercinta, Fia menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di Politeknik Shah Alam, Selangor bagi peringkat diploma.

Kini, dia menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Dalam pada itu, Fia mengakui bahawa mendalami bidang kejuruteraan boleh dikatakan agak sukar.

FIA aktif sebagai penyedia kandungan dan model sambilan.

Malah, ketika di peringkat Diploma, dia pernah terfikir untuk berhenti kerana merasakan dirinya tidak mampu untuk meneruskan pengajian dalam jurusan tersebut.

“Banyak cabaran yang telah saya lalui sejak mengambil jurusan ini, namun hasil galakan dan dorongan daripada ibu membuatkan saya tidak jadi berhenti.

“Malah, kepercayaan yang tinggi daripada ibu menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk berjaya dalam jurusan ini,” jelasnya.

Tambahnya, setelah tamat pengajian kelak, dia ingin bekerja terlebih dahulu untuk mencari pengalaman.

Pada masa sama, dia ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Saya mahu bekerja sambil belajar selepas ini.

“Dengan cara ini, saya dapat memantapkan lagi kefahaman dalam bidang kejuruteraan,” katanya.

Sementara itu, Fia menjelaskan, ibunya adalah insan terpenting yang mengajarnya tentang kehidupan.

Terangnya, sejak kecil, ibunya yang akan membuat keputusan dari segi warna pakaian, cara pemakaian dan banyak lagi.

Meskipun semua sudah diatur oleh ibunya, namun Fia sesekali tidak merasakan dirinya dikawal, malah dia selesa dengan cara tersebut.

“Dalam hidup ini, ada satu perkara yang ibu saya didik sehingga membuatkan saya betul-betul terkesan. Sehingga sekarang ia menjadi amalan dalam hidup.

“Dari kecil saya telah diajar untuk bersedekah dengan sesiapa sahaja sama ada orang itu dikenali atau tidak.

“Biarpun ketika itu tidak punya wang yang banyak, namun kita perlu sedekah.

“Ibu saya berpesan, kita tidak akan miskin kalau kita bersedekah,” terangnya.

Dalam pada itu, biarpun masih bergelar seorang mahasiswi, namun Fia sudah mampu menjana pendapatan sendiri.

Gadis yang gemar menghasilkan video itu memilih menjadi seorang penyedia kandungan atau content creator.

Fia juga menyediakan perkhidmatan ulasan berbayar.

Jika ada masa lapang, dia akan mengambil ‘job’ sebagai model sambilan serta menyediakan perkhidmatan jurumekap artis (MUA).

“Saya suka dan selesa bekerja di hadapan kamera.

“Sebab itu saya sering menghasilkan video dan menjadi model sambilan.

“Pada masa sama, saya mempunyai kemahiran sebagai MUA.

“Semua ini membantu saya menjana pendapatan sampingan,” terangnya.

Mengulas lanjut tentang dirinya, Fia memaklumkan, dia merupakan seorang yang suka mempelajari ilmu mempertahankan diri.

Menurutnya, dia adalah pemegang tali pinggang hitam bagi seni mempertahankan diri tang soo do yang berasal dari Korea Selatan.

“Saya juga merupakan sebahagian tenaga pengajar untuk seni mempertahankan diri ini.

“Jika pulang ke kampung di Sarawak, saya akan mengajar golongan yang terlibat dengan seni mempertahankan diri ini.

“Selain itu, saya pernah mendalami seni mempertahankan diri yang lain seperti silat dan taekwondo,” jelasnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI