fbpx

Mohon elaun praktikal diperluas ke sektor swasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bagi pelajar yang tidak memiliki kenderaan sendiri, mereka terpaksa menggunakan pengangkutan awam untuk pergi balik ke tempat latihan industri. – GAMBAR HIASAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berharap dasar pemberian elaun praktikal sebanyak RM800 sebulan kepada pelatih industri dapat diperluas ke syarikat swasta.

Yang Dipertua MPP UMT, Muhammad Hisyamuddin Sazali berkata, pemberian itu membolehkan lebih ramai pelajar universiti yang mengikuti latihan industri menikmati faedahnya.

“Penetapan elaun praktikal sebanyak RM800 sebulan wajar diselaraskan selaras situasi ekonomi semasa bagi meringankan beban pelajar terutama dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Di Shah Alam, Selangor, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Yusuf Hassan membe­ritahu, elaun itu wajar melibatkan sektor swasta memandang­kan ramai pelajar praktikal terkesan dengan kos sara hidup.

“Elaun sekurang-kurang­nya RM800 sebulan ini patut dilaksanakan oleh pihak swasta.

“Keseimbangan perlu ada kerana pelajar praktikal sudah tentu akan turut memilih sektor swasta sebagai tempat latihan industri mereka,” ujarnya.

Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) UiTM, Muhammad ‘Adnin Ali Huddin, 22, berkata, masih ba­nyak bidang pengajian di universiti yang tidak dapat diselarikan dengan peluang latihan industri di organisasi kerajaan.

Katanya, ia menyebabkan sebahagian mahasiswa tidak akan merasai inisiatif elaun tersebut.

“Sebagai pelajar keselamatan siber, elaun perintisan ini kami tidak dapat rasai sebab jurusan kami ini, peluang pekerjaan dalam syarikat berkaitan kerajaan sangat rendah.

“Jadi masih ramai antara kami akan menjalankan latihan industri di syarikat swasta, namun inisiatif yang diumumkan kerajaan masih belum diperluaskan ke syarikat swasta,” ujarnya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada syarikat swasta supaya mempertimbangkan pemberian elaun terhadap pelajar yang menjalani latihan industri di tempat mereka.

Sebelum ini, isu bayaran pelajar praktikal menjadi polemik susulan laporan mengenai seorang penuntut universiti awam menyuarakan kebimbangan untuk bertahan sepanjang menjalani latihan industri.

Susulan itu, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan akan meneliti isu bayaran atau elaun rendah kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalani latihan industri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI