PETALING JAYA – Pemberian elaun perantisan minimum RM800 sebulan kepada pelatih industri di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat membantu keberlangsungan hidup pelajar universiti sepanjang tempoh latihan.
Rata-rata pelajar juga menganggap pemberian elaun itu dapat meringankan beban mereka terutama daripada keluarga B40 kerana tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Di Johor Bahru, Johor, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nadratul Huda Ahmad berkata, keberadaan pelajar setiap hari pada waktu bekerja memerlukan pelbagai kos antara pengangkutan, penginapan dan makan minum.
“Perlu diingatkan, bukan semua pelajar bernasib baik mendapat tempat latihan industri yang berhampiran rumah.
“Maka dalam keadaan ini, elaun latihan industri merupakan suatu keperluan yang penting bagi meringankan beban dan bukan sekadar kehendak pelajar,” katanya kepada Kosmo!.
Timbalan Naib Dipertua Sukan dan Sukarelawan MPP UTM, Noor Afham Noor Azman, 23, berkata, ketika ini pelajar yang melakukan latihan itu bergantung dengan pinjaman PTPTN sebagai perbelanjaan untuk ulang-alik ke tempat latihan industri.
“Elaun sebanyak RM800 itu sangat-sangat memberi satu senyuman di wajah kami terutamanya yang tergolong dalam kalangan keluarga B40.
“Saya pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Pendidikan di UTM, kami buat latihan industri di sekolah, mengajar murid-murid sama seperti warga pendidik lain,” ujarnya.
Di Putrajaya, seorang bekas pelatih industri, Fatin Umairah Abdul Hamid, 23, berkata, sebelum ini dia menjalani latihan industri di sebuah agensi kerajaan dan memperoleh elaun RM300 sehingga RM500 sebulan.
Katanya, elaun itu hanya cukup makan minum sahaja sehingga terpaksa meminta sedikit wang saku daripada ibu bapa.
“Dengan elaun yang diperoleh, saya gunakan untuk membeli barang keperluan, isi minyak kenderaan, bayaran tol, tiket parkir serta makan seharian.
“Apabila duit habis, kebiasaannya ibu bapa akan tanggung, kadang-kadang RM100 hingga RM200 setiap minggu,” katanya.
Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Komunikasi sebuah univeresiti, Nur Adiba Anisah Anuar, 23, berkata, pemberian elaun RM800 sebulan itu memberikan semangat kepada mahasiswa untuk menjalani latihan industri.
“Saya sendiri juga akan mengikuti latihan industri tahun depan, dan semestinya bermula sekarang saya akan memilih tempat latihan industri.
“Sejujurnya kalau dahulu, ramai dalam kalangan mahasiswa takut dan kurang berminat untuk menjalani latihan industri di organisasi kerajaan sebab kebanyakan tidak memberi elaun.
“Dengan pengumuman baik oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya yakin mahasiswa akan memilih organisasi kerajaan atau GLC,” katanya.
Di George Town, Pulau Pinang, pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Muhammad Nur Akmal Mohd. Rizal, 23, berkata, elaun itu relevan dengan kos kehidupan seorang pelajar secara bulanan.
Bagaimanapun, dia beranggapan jika tempat latihan industri itu di kawasan bandar-bandar utama seperti Johor Bahru dan Kuala Lumpur, kadar tersebut masih belum cukup.
“Cukup atau tidak, bergantung kepada tempat. Jika di Kuala Lumpur, sudah pasti kos sara hidup tinggi, sewa bilik sahaja sekitar RM400 sebulan,” katanya.
Jumaat lalu, Anwar mengumumkan pelatih industri di pejabat kerajaan dan GLC akan menerima elaun perantisan minimum RM800 sebulan.
Katanya, secara tradisinya pelatih industri tidak diberikan bayaran, namun elaun itu penting terutama bagi mereka yang datang daripada keluarga tidak berkemampuan.