KUALA TERENGGANU – Kompleks baharu Pasar Besar Kedai Payang yang dibina sejak lima tahun lalu akan mula beroperasi akhir tahun ini.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, pembinaan kompleks tersebut telah siap sepenuhnya dan bakal diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Rabu ini.
“Peniaga yang sebelum ini berniaga di kompleks sementara di sebelah akan mula berpindah secara berperingkat tidak lama lagi.
“Saya jangkakan proses pemindahan peniaga dan barangan mereka akan selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Kompleks asal Pasar Besar Kedai Payang yang dibuka pada 1968 sebagai pusat sehenti produk makanan dan kraftangan Terengganu dirobohkan untuk pembangunan semula pada 2018.
Pembinaan semula yang menaik taraf kemudahannya menelan belanja RM69.3 juta.
Rosli berkata, pemindahan semula tersebut melibatkan 500 peniaga dan kompleks baharu Pasar Besar Kedai Payang dilengkapi kemudahan penyaman udara.
“Selain itu, ia juga mesra orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan bayi selain dilengkapi kemudahan eskalator.
“Sebuah menara jam yang pernah menjadi mercu tanda Pasar Besar Kedai Payang juga telah dibina semula,” katanya. -KOSMO! ONLINE