KEPUTUSAN seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC (KL City)di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin menjadikan pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan dalam situasi dilema untuk memburu keputusan lebih baik pada baki saingan musim ini.
Di sebalik kepuasan melihat semangat juang pemain, Devan juga akur skuad Hoben Jang Hoben berisiko tempang sekiranya ramai pemain mengalami kecederaan kerana tidak berpeluang melakukan penggiliran.
“Pengurusan buat keputusan tak ada pemain import (baharu), jadi saya beritahu pemain bahawa ini peluang terbaik yang harus digunakan demi kebaikan karier dan mereka juga sedar dengan memberikan komitmen penuh.
“Pemain tempatan (baharu) pun tidak ada. Pemain keluar ada tetapi pengganti tidak ada. Ini nasib yang perlu Negeri Sembilan lalui dan kami tidak boleh ambil risiko (kerah kudrat pemain) kerana skuad sekarang makin kecil,” katanya.
Pada perlawanan itu, Romel Morales meledak gol pembukaan pada minit ke-40 dan hampir memastikan tiga mata, namun tempoh seminit masa kecederaan babak kedua menjadi detik paling mengecewakan KL City apabila Zainal Abidin Jamil menghasilkan jaringan penyamaan.
“Jika dibandingkan KL City, mereka pasukan lebih bagus dan ada pemain berkualiti. Jadi, untuk memperoleh satu mata adalah sesuatu yang baik buat kami.
“Pemain ada keyakinan kerana kalau tidak, mereka pasti tidak akan mencuba sehingga akhir perlawanan. Memang sasaran kita adalah cuba dapatkan mata di sini,” katanya.