KUALA Lumpur City FC (KL City) kembali dihimpit ‘penyakit lama’ apabila membiarkan Negeri Sembilan FC (NSFC) bangkit untuk mencatatkan keputusan seri 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.
Aspek konsentrasi barisan pemain nyata menggusarkan pengendali KL City, Bojan Hodak yang melabelkan anak-anak buahnya seperti budak sekolah yang harus sentiasa ditegur.
“Jika masih ingat, musim 2021 perkara sama juga berlaku, kami bolos saat akhir bagi beberapa perlawanan awal. Selepas itu, kami berjaya perbaiki dan mula mendapatkan kemenangan.
“Ia macam budak-budak di sekolah. Sepanjang 90 minit saya berpuas hati tetapi dalam masa tambahan juga mereka perlu kekalkan aksi terbaik,” katanya.
Ketika pemain KL City hanya menanti wisel penamat untuk meraikan tiga mata hasil jaringan Romel Morales, sebaik aksi memasuki hujung masa tambahan, Zainal Abidin Jamil berjaya membebaskan diri daripada kawalan pertahanan untuk meledak gol penyamaan.
Pada masa sama, Hodak juga merasakan keputusan itu seakan-akan tidak seiring dengan kualiti permainan dipamerkan oleh anak-anak buahnya.
“Sekali lagi kita bazirkan mata walaupun kita bertambah baik dan hari ini (kelmarin) kita sepatutnya mampu dapatkan tiga mata,” katanya.