fbpx

PRN: Kesalahan pilihan raya selesai dalam tujuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (kanan) bercakap pada sidang akhbar selepas Taklimat PRN di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. - FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Sebarang kes berkaitan kesalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diselesaikan dan dibawa ke mahkamah dalam tempoh tujuh hari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setiap kes akan segera disiasat sebelum kertas siasatan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya di negeri dan daerah masing-masing.

Menurutnya, kesalahan utama yang dikenal pasti berlaku ketika tempoh berkempen dan pengundian antaranya membakar bendera atau merosakkan poster dan perbuatan yang boleh mencetus pergaduhan.

“Selepas proses penamaan calon selesai, kita akan mula mengenal pasti sekiranya berlaku kesalahan pilihan raya. Siasatan polis bagi kesalahan berkenaan mesti diselesaikan dalam tempoh tujuh hari.

“Jangan cuba-cuba melakukan kesalahan pilihan raya kerana kali ini mereka yang terlibat akan dituduh di mahkamah secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Taklimat PRN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin memberitahu, pihaknya akan mewujudkan pasukan rondaan Op Cantas untuk melaksanakan rondaan sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, polis akan mengambil tindakan termasuk memanggil calon dan wakil calon bagi menjelaskan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh berkempen.

“Kita juga akan mengenal pasti pihak yang terlibat dengan pemasangan bendera bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

“Jadi, saya berharap tiada kejadian seperti membakar atau merosakkan bendera dan perkara-perkara lain yang boleh mencetus perbalahan,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI