BANDAR BAHARU – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kerana didakwa menuduhnya mencuri unsur nadi bumi selain isu berkaitan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).
Menurut Muhammad Sanusi, dakwaan dibuat Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) adalah tidak benar dan mengelirukan selain berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.
Dalam isu REE katanya, Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) bukanlah pihak yang dikenakan kompaun, sebaliknya nama syarikat milik kerajaan negeri (GLC) itu tertera disebabkan ia merupakan pemegang permit ladang hutan di kawasan berlaku kecurian.
“Yang dikompaun adalah pihak ketiga yang beralamat di Kuala Krai, Kelantan, kerana didakwa menceroboh dan melakukan kegiatan mencuri REE. Kompaun tersebut dikeluarkan pada 5 Oktober 2022 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari atau pihak terlibat boleh didakwa di mahkamah tanpa notis selanjutnya.
“Akhirnya pihak berkenaan telah menjelaskan kompaun tersebut pada 10 Oktober 2022, Saifuddin pula dakwa notis kompaun tersebut adalah pada 4 Oktober dan disebabkan tarikhnya salah, jadi maklumat itu tak ‘update’ atau mungkin dicuri kerana bersifat separuh masak.
“Beliau gunalah dokumen sikit-sikit untuk kenakan kita dengan jalan yang salah dan saya fikir sebagai Menteri Dalam Negeri, tak bolehlah buat kerja begitu,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan geran tanah, di sini hari ini.
Saifuddin ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani, malam semalam menyatakan bahawa Muhammad Sanusi didenda sebanyak RM500,000 pada tahun lalu kerana kesalahan mencuri REE.
Sementara itu, berhubung isu Marris, jelas Muhammad sanusi, baki peruntukan Marris yang tidak dibelanjakan sebanyak RM259 juta sebenarnya masih disimpan dalam simpanan tetap kerajaan negeri.
Katanya, perkara itu turut dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit Jabatan Audit Negara.
“Langsung tak ada salah guna peruntukan seperti disebut menteri. Kalau ada salah laku, sudah tentu perkara ini dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara.
“Apa yang dibangkitkan Audit Negara adalah baki peruntukan sebelum 2014, jika nak katakan berlaku tindakan menyalahi tata kelola, maka salah laku itu berlaku bukan di bawah pentadbiran saya selaku Menteri Besar,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE