ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam hingga 9 Disember depan mengikut syarat ditetapkan.
Pengarahnya, Mohd. Yusri Md. Daud berkata, antara syarat-syarat yang ditetapkan ialah majlis perlu dilaksanakan di masjid kariah pengantin perempuan dalam tempoh 20 minit sahaja.
Selain itu, katanya, majlis berkenaan hanya boleh dihadiri enam individu iaitu Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (PPNCR) sebagai juru nikah, dua saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan walinya.
“Pasangan pengantin hanya dibenarkan membawa mas kahwin, borang dan dokumen berkaitan akad nikah sahaja ke masjid.
“Pada majlis itu, tiada berjabat tangan ketika lafaz, selain itu, upacara lain di kawasan masjid seperti membatalkan air sembahyang, sarung cincin dan bergambar juga dilarang,” katanya katanya dalam satu pekeliling kepada semua Pejabat Agama Islam Daerah di sini semalam.
Mohd. Yusri memberitahu, semua tetamu yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan pihak masjid perlu memastikan mereka bersurai dengan segera sebaik sahaja akad nikah selesai bagi membolehkan majlis pasangan lain pula.
“Pihak PPNCR boleh membatalkan majlis akad nikah ini sekiranya arahan tentang tatacara berkenaan tidak dipatuhi,” jelasnya.
Beliau menambah, JHEAIK turut menangguhkan pelaksanaan kursus praperkahwinan sepanjang tempoh PKPB itu dan memutuskan untuk melaksana temu duga bagi menggantikan kursus tersebut.