KOTA BHARU – Kertas siasatan melibatkan tiga pemimpin parti politik iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu 3R (Raja, agama dan kaum) sudah hampir selesai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan melibatkan tiga tokoh tersebut sudah hampir lengkap selepas pihaknya merakam percakapan mereka yang terlibat.
Menurutnya, kertas-kertas siasatan tersebut dijangka diserahkan kepada Peguam Negara pada minggu depan untuk tindakan selanjutnya.
“Keterangan ketiga-tiga tokoh politik berkenaan sudah diambil. Kesemua kes ini (disiasat) melibatkan Akta Komunikasi, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, siasatan berkaitan 3R hanya melibatkan tiga kes tersebut. Ketiga-tiga kes ini sangat menarik, selebihnya kes-kes kecil,” katanya pada sidang akhbar selepas Taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari. Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Terdahulu, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina raja selain meremehkan pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Abdul Hadi pula disiasat berhubung kenyataan yang mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan negara Barat.
Sementara itu, Guan Eng mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE.