SITUASI ekonomi masa kini menyebabkan ramai insan yang masih belum berkahwin memilih untuk terus tinggal bersama keluarga meskipun sudah bekerjaya.
Dengan tinggal bersama adik-beradik, banyak aspek yang boleh dijimatkan seperti duit sewa, kos barang dapur, bil elektrik, Wi-Fi dan sebagainya.
Namun sesetengah anak-anak tidak sedar bahawa ketika masih tinggal bersama ibu bapa, mereka berkemungkinan melayan orang tua mereka saling tidak tumpah seperti orang gaji.
Perkara itu diluahkan Iman (bukan nama sebenar) kepada Panorama setelah dia muak dengan sikap tidak bertanggungjawab adik-beradiknya.
Abang dan kakaknya yang telah bekerjaya masih tinggal bersama ibu mereka di sebuah rumah teres di pinggir ibu kota.
Pada asalnya, idea itu dikatakan bernas kerana sekurang-kurangnya ibu mereka tidak ditinggalkan keseorangan dengan adanya anak-anak masih tinggal bersama.
Tetapi menurut Iman, sikap abang dan kakaknya yang lepas tangan berkenaan hal dalam rumah menyusahkan ibunya.
“Saya faham mereka semua sibuk dengan kerjaya masing-masing. Tapi itu bukan alasan langsung tidak buat kerja rumah.
“Kadangkala saya kasihan dengan ibu yang bukan sahaja masih memasak, mengemas rumah, malah masih tolong cuci, sidai dan lipat baju mereka,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Iman yang sedang menuntut di sebuah universiti awam dan tinggal di asrama mengakui ‘sakit mata’ melihat sikap abang dan kakaknya.
Iman yang pulang ke rumah pada hujung minggu sering melihat ibunya berhempas pulas mengemas rumah dan memasak sama seperti ketika mereka kecil dahulu.
Lebih memburukkan keadaan, kucing kesayangan keluarga itu juga diuruskan ibunya, termasuk dalam hal memberi makan dan buang najisnya.
“Apabila balik dari kerja, mereka terus campak baju di dalam bakul. Nanti bila nak pakai balik, semua dah tersedia basuh, kering dan lipat.
“Bila lapar pula, minta ibu masak itu dan ini. Waktu cuti, sama ada mereka tidur seharian, main telefon atau keluar dengan rakan.
“Kucing pun biar ibu yang uruskan. Mereka hanya bermain suka-suka sahaja dengan kucing itu,” keluhnya.
Tegas Iman, tanggapan bahawa tanggung jawab sebagai seorang anak sudah lengkap sekiranya sudah menyediakan wang belanja untuk ibu bapa adalah salah sama sekali.
Ibunya yang sudah berusia 65 tahun itu seharusnya berehat dan hanya melakukan aktiviti kerja rumah sekiranya mahu sahaja.
“Tidak dinafikan, setiap bulan mereka beri ibu wang. Kadangkala, mereka belikan hadiah. Tapi saya yakin tanggungjawab anak lebih daripada itu. Buat apa kalau anak masih tinggal di rumah tapi buat macam orang gaji,” katanya menutup bicara.