fbpx

Al Masitah beralih daripada katerer, kini menjual Rempah Daging Masak Hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kemerosotan teruk perniagaan akibat penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini bukan alasan bagi seorang ibu muda ini untuk mudah mengalah, berputus asa dan men­yerah diri kepada nasib.

Pengasas Rinmas Nusantara Enterprise (Rinmas Nusantara), Al Masitah Ginan,27 mengakui wabak berbahaya yang telah menjejaskan pendapatan­nya sebagai penyedia perkhidmatan pelbagai pakej perkahwinan lebih daripada 80 peratus itu telah memberi idea baharu kepadanya untuk mengubah konsep perniagaan sedia adanya.

Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, tempahan katering perkahwinan semakin berkurangan.
Sehubungan itu, beliau yang masih memberi tumpuan terhadap industri makanan dan minuman telah memilih untuk mengeluarkan produk rempah Daging Masak Hitam.

Produk berkenaan sangat unik kerana adalah hasil air tangan daripada suaminya, Rinaldi Krisnajaya Sumardi, 38 yang berasal dari Medan, Indonesia.

Resipi tersebut telah digabungkan antara cita rasa tempatan dan juga dari Medan.

“Ia menggunakan bahan mentah utama dengan melibatkan kayu manis, bunga lawang, pe­laga dan bunga cengkih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! dekat Bandar Elmina di sini baru-baru ini.

Ibu kepada dua anak yang ber­asal dari Rawang itu ber­syukur kerana produk tersebut telah mendapat sambutan positif dripada pe­langgan.

“Biarpun produk rempah itu baru sebulan diperkenalkan tetapi lebih daripada 500 paket sudah berjaya dijual secara online dan juga offline.
“Kami menyasarkan jumlah jualan akan meningkat dua kali ganda menjelang akhir tahun ini.

“Rempah Daging Masak Hitam akan memudahkan pelanggan menyediakan juadah lazat dan mudah untuk dinikmati bersama keluarga dan orang tersayang,” ujarnya.

Tambah beliau, produk makanan ini bersesuaian bagi keluar­ga yang sibuk dan tidak cukup masa untuk menyediakan segala rempah ratus dan pelbagai bahan mentah lain ketika memasak,” terangnya.

Demi kelangsungan operasi syarikat dan kehidupan keluarga­nya, Al Masitah berniat mahu membantu mereka yang mahu menjadi pengedar bagi produk berkenaan.

“Suri rumah, ibu tunggal malah kaum bapa yang berminat berniaga amat dialukan menjadi ejen atau stokis Rinmas Nusantara untuk menjana pendapatan sampingan ketika ekonomi sukar ketika ini,” katanya.

Jelas beliau, syarikatnya yang beroperasi di Rawang itu turut merancang untuk memasarkan produk rempah tersebut ke luar negara pada masa depan.

“Kami juga bercadang untuk membuka sebuah restoran bagi membolehkan kami mengko­mersialkan produk Daging Masak Hitam kepada pelanggan,” terang beliau.

Produk rempah Daging Masak Hitam yang mudah untuk dimasak itu dijual pada harga RM15 bagi paket 250 gram (g) dan RM25 untuk 500g.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI