PASUKAN Selangor memberi jaminan aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Kedah bakal menjadi perlawanan berbeza selepas dilihat bergelut sebelum meraih kemenangan 2-1 ke atas pasukan Melaka United di Stadium Hang Jebat kelmarin.
Pada perlawanan itu, skuad Gergasi Merah dilihat lebih banyak bertahan selepas mendahului saingan menerusi Ifedayo Olusegun dan Sandro da Silva sehingga menyaksikan Melaka berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan Uche Agba.
Ketua jurulatih sementara Selangor, Michael Feichtenbeiner mengakui banyak faktor pasukannya beraksi tidak seperti yang diharapkan dan salah satu punca utama adalah keadaan padang di Stadium Hang Jebat yang agak teruk.
“Kami mempunyai falsafah bola sepak moden tetapi sukar untuk dipraktik apabila bermain padang seperti di sini. Situasi tersebut membuatkan barisan pemain gagal melakukan serangan dengan kemas apabila hantaran yang dilakukan mudah dipatahkan.
“Apa yang pasti, saya yakin para pemain boleh beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya (menentang Kedah) dan menjadikan kelemahan pada aksi bertemu Melaka kali ini sebagai pengajaran.
“Ini kerana selepas kita selesa mendahului 2-0, pasukan memberi ruang buat Melaka bangkit dan apabila mereka merapatkan kedudukan, kami tiada pilihan selain bertahan memandangkan ini adalah aksi kalah mati dan segalanya boleh berlaku,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Mengulas lanjut, pengendali import dari Jerman itu turut memuji impak Olusegun yang meneruskan momentum cemerlangnya di hadapan gawang gol selepas meraih kasut emas saingan Liga Super musim ini.
“Olusegun merupakan watak penting buat jentera serangan kami dan dia telah membuktikan penyudah berbisa pada perlawanan ini. Selain itu, saya juga mahu puji aksi ditampilkan oleh (Wan Nor) yang cukup positif,” katanya.