JELEBU – Setiausaha Agung DAP yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Siew Fook berkata, keputusan itu selepas mengambil kira senario politik semasa, sentimen tempatan selain dapatan sokongan yang diterima hasil kaji selidik dijalankan dalam kalangan pengundi di kawasan itu.
“Saya mahu mengumumkan akan pertahankan kerusi Chennah pada PRN akan datang. Selepas mengambil kira senario politik semasa, mengambil kira sentimen tempatan, saya mangambil keutusan untuk meneruskan mempertahankan kerusi Chennah.
“Saya sudah lakukan kaji selidik dalam kalangan pengundi tempatan di Chennah dan keputusannya itu menggalakkan saya untuk meneruskan khidmat di kawasan Chennah.
“Berdasarkan keputusan kaji selidik itu dalam kalangan responden, 70 peratus sokong saya untuk terus mewakili mereka dan sudah tentu sokongan tertinggi dalam kalangan komuniti Cina iaitu pada tahap 90 peratus,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban menambah, berdasarkan kaji selidik itu, beliau turut mendakwa menerima sokongan lebih 50 peratus dalam kalangan pengundi Melayu di DUN berkenaan.
“Selaku Setiausaha Agung DAP dan Pengerusi DAP negeri, saya mesti teruskan khidmat di DUN ini. Saya juga mahu buktikan bahawa pemimpin DAP boleh mewakili dan memenangi sokongan daripada pelbagai komuniti termasuk pengundi Melayu,” katanya.
Untuk rekod, Siew Fook memenangi kerusi DUN Chennah sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan pada PRU Ke-14 beliau menang dengan majoriti 1,155 undi menewaskan dua pencabar lain. – KOSMO! ONLINE