PETALING JAYA – Usahawan yang juga suami kepada pelakon Fatin Afeefa, Opai menuai perhatian ramai apabila menghadiahkan seutas jam tangan jenama mewah dianggarkan berharga RM49,000 bersempena ulang tahun kelahiran ke -28 isterinya, baru-baru ini.
Difahamkan, jam berjenama Rolex dan bertatah berlian serta emas jenis Everose dihadiahkan kepada Fatin dalam sebuah majlis yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.
Opai atau nama penuhnya Aliff Awang turut meluahkan kesyukuran kerana dikurniakan seorang isteri yang disifatkan luar biasa itu.
“Selama-lamanya bersyukur kerana mempunyai wanita luar biasa ini di sisi dan pada hari istimewanya, saya ingin menunjukkan betapa bermaknanya dia.
“Memberinya Rolex (jenama jam tangan) hanyalah tanda kecil kasih sayang dan kekaguman saya yang tiada berkesudahan.
“Melihat keluarga kami dari kedua-dua belah pihak berkumpul untuk meraikan ulang tahun kelahirannya menjadikan hari ini lebih luar biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Opai menganggap dirinya lelaki paling bertuah kerana menjadi suami kepada wanita yang hebat.
“Cinta tidak mengenal batas apabila kita dikelilingi kemesraan dan sokongan orang yang kita sayangi.
“Di sinilah cinta dan kebahagiaan berharga sepanjang hayat bersama.
“Bangga menjadi lelaki paling bertuah di bumi, dikurniakan isteri yang paling luar biasa dan hebat,” luahnya.
Sementara itu, aksi romantik Opai itu meraih pujian netizen kerana bijak menghargai isteri.
“Bagus Opai hargai isteri, perkara bergini yang boleh membuatkan kaum wanita cair,” komen seorang peminat.
“Budiman betul Opai sekarang ni, teruskan tak berkira dengan isteri, murah rezeki nanti,” tulis seorang netizen.
Fatin dan Aliff sah bergelar suami isteri pada 30 Disember tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup.
Pelakon tersebut sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan aktor Adam Shahz pada 21 Disember 2013, namun bercerai pada 30 Mei 2017.
Mereka mempunyai anak perempuan bernama Ivy Herra Sophia, manakala Fatin juga mempunyai seorang lagi anak lelaki bernama Adam Aisy Arrian, 10. – KOSMO! ONLINE.