PETALING JAYA – Seramai 42,946 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat Diploma di institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi Julai 2023 layak menerima wang pendahuluan pinjaman (WPP).
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataan berkata, WPP berjumlah RM1,500 itu adalah untuk menampung sebahagian perbelanjaan pelajar memasuki IPTA.
“PTPTN sentiasa berusaha untuk membantu serta menjaga kebajikan pelajar dengan menyediakan WPP. Bagi sesi kali ini, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM64.42 juta.
“WPP ini diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang memohon melalui ‘UPUOnline’ atau portal kemasukan IPTA serta memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, PTPTN berkata, bagi kemasukan sesi Julai 2023, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN.
Jelasnya, WPP tersebut boleh ditunaikan menerusi kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 18 Julai ini.
“Pelajar perlu membawa surat tawaran WPP serta MyKad pelajar dan wakil tidak dibenarkan. Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 18 Julai hingga 18 September 2023,” ujarnya.
Sementara itu, tambahnya, pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA.
“Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
“Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN boleh diperolehi melalui portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE