SEBERANG PERAI – Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini dilihat tidak akan menjejaskan peluang gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi hati pengundi muda.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, dalam hal ini, kehadiran Muda yang akan bertanding secara solo juga bukanlah dianggap sebagai satu ‘ancaman’.
“Bagi kami tidak ada parti yang ada ancaman. Kita ada sistem demokrasi yang adil. Jadi, semua orang ada hak untuk bertanding dalam pilihan raya ini.
“Justeru, apabila Muda membuat keputusan untuk bertanding (secara solo), terpulanglah kepada rakyat untuk menilai parti mana yang benar-benar membawa suara dan masalah mereka untuk didengari.
“Jadi, ia bukanlah mengenai sebuah parti yang hanya retorik semata-mata,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha yang mula digerakkan oleh parti yang diterajui oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dalam ‘memancing’ undi orang muda,” katanya di sini.
Beliau ditemui pemberita pada sesi ceramah Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim serta beberapa pemimpin lain termasuk ketua-ketua sayap Pemuda Perpaduan di peringkat negeri di Guar Perahu, Bukit Mertajam malam tadi.
Selain sesi ceramah, turut diadakan pada majlis yang sama adalah gimik penyerahan Baju Belia Madani serta pelancaran Skuad Sukarelawan Belia Madani Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE