LARUT – Perikatan Nasional (PN) bakal menampilkan beberapa orang calon daripada pelbagai latar termasuk beberapa individu yang pernah berkhidmat dalam sektor awam untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos nanti.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ada beberapa individu yang diketengahkan pernah memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.
“Calon yang diketengahkan nanti mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing serta berwibawa.
“Mereka ini pernah menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan dan ada di antaranya pernah berkhidmat sebagai pegawai tertinggi kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas ditemui Majlis Makan Malam Bersama Ahli Parlimen Larut di Dewan Permai Majlis Daerah Selama pada malam tadi.
Kata Hamzah, sekiranya menang pada PRN itu nanti, calon -calon yang bertanding itu mampu mentadbir urus negeri dengan lebih baik.
“Kita yakin semua calon-calon yang diketengahkan itu bukan hanya mampu mentadbir urus negeri dengan baik malahan mampu memacu dan menentukan hala tuju pertumbuhan ekonomi negeri dengan lebih baik lagi.
“Senarai nama setiap calon telah selesai dan kita akan umumkan nama -nama calon dalam masa yang terdekat. Pengumuman itu akan diadakan dinegeri -negeri tempat calon itu bertanding nanti,” katanya. -KOSMO! ONLINE