SEBERANG PERAI – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar batu tertera ayat al-Quran yang dijadikan pelapik tempat anjing tidur seperti yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya terkesan tiga keping gambar terbabit yang dimuat naik di satu halaman Facebook.
Katanya, hasil semakan mendapati kejadian itu telah berlaku di sebuah premis perniagaan barangan perkakasan di Telok Ayer Tawar.
“Hari ini, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki Melayu tentang satu hantaran di aplikasi media sosial Tik Tok milik akaun isterinya berkenaan dengan komen pada satu gambar di mana seekor anjing sedang tidur di atas batu bertulis ayat al-Quran.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati pengadu tidak mengenali pemilik akaun TikTok tersebut namun laporan polis dibuat kerana merasa terkilan dengan pemilik premis yang seolah-olah tidak menghormati agama Islam dan mahukan siasatan lanjut dijalankan,” katanya kepada pemberita malam ini.
Susulan laporan terbabit, beliau berkata pihaknya telah menghubungi pengendali akaun laman berkenaan bagi memadam hantaran viral tersebut.
“Pemilik kedai barangan perkakasan serta pemilik akaun TikTok telah dihubungi supaya hadir ke IPD SPU untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. Lawatan pihak polis ke lokasi kejadian turut mendapati dua keping batu terbabit sudah tiada di tempat yang ditularkan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE