fbpx

Malaysia bakal jadi hab umrah, pelancongan Islam di Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Firdaus (dua kiri) bersalaman bersama Ibrahim (kiri) selepas merasmikan Pakej Umrah Rahmah CSR hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi hab Umrah di Asia serta destinasi pelancongan Islam dalam masa terdekat selepas perbincangan bersama pihak terlibat termasuk agensi swasta diselesaikan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, perancangan tersebut juga dilihat bakal menjadikan industri pelancongan Islam di negara ini semakin berkembang dan dikenali dunia.

“Cadangan ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat, dijangkakan pada Ogos atau September ini kita akan berbincang dalam peringkat kabinet.

“Sayang jika lepaskan peluang ini kerana Malaysia sudah terkenal sebagai negara Islam, jika hab ini dijalankan pihak-pihak terlibat seperti agensi Umrah tempatan juga boleh memperluaskan perniagaan mereka ke luar negara,” jelasnya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd, Ida Riswana Idris berkata, pihaknya bercadang untuk menyediakan sebanyak 2,200 tempat duduk bagi pakej Umrah Rahmah pada musim 1445H yang bermula akhir bulan nanti.

“Kami memperuntukkan 2,200 tempat duduk bagi pakej Umrah Rahmah yang bermula dari harga RM5,590 bersama penerbangan Air Arabia bagi membantu golongan yang kurang mampu ke Tanah Suci.

“Selain dari pakej tersebut, pihak kami juga mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Umrah Asnaf dengan menghantar 500 orang golongan itu ke Mekah secara percuma setiap tahun,” katanya.

Tambahnya, pemilihan individu yang layak akan dibuat oleh pihak berkuasa seperti Pejabat Agama Daerah, Pejabat Menteri Besar Negeri dan Kementerian Pelancongan bagi menyaring mereka yang benar-benar layak sahaja.

“Antara syaratnya adalah pendapatan bawah RM800, berusia 60 tahun ke atas, belum pernah pergi umrah dan anak-anak tidak mampu hantar mereka.

“Sememangnya pemilihan itu bukan daripada pihak Andalusia Travel sendiri. Ini merupakan sebagai tanda kesyukuran atas rezeki Allah SWT dan merupakan satu hadiah istimewa dan berharga buat mereka khas daripada Andalusia Travel,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI