PUTRAJAYA – Pemberian elaun sebanyak RM800 kepada kumpulan pelajar yang menjalani latihan industri di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disifatkan perlu dilaksanakan secara segera.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemberian elaun perantisan itu perlu dilaksanakan segera ekoran membantu golongan pelajar daripada pelbagai aspek termasuk pengangkutan.
“Kita harap untuk GLC dapat laksana segera, tetapi untuk syarikat lain, kita tunggu pengumuman dalam bajet seterusnya.
“Bagi GLC, ia seakan paksa rela kerana apabila kerajaan umum, GLC bawah kerajaan dan ia dianggap perkara perlu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesediaan GLC melaksanakan elaun perantisan itu, Ahmad percaya syarikat terlibat mampu menyambut baik perkara itu ekoran melibatkan impak perbelanjaan minimum.
“GLC ada bagi elaun dengan jumlah tertentu, tapi tidak sampai nilai siling yang kita inginkan. Jadi, ia impak miniman terhadap mereka,” jelasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelajar menjalani latihan industri di GLC menerima ‘elaun perantisan’ dengan angka minimun sebanyak RM800 sebulan.
Perdana Menteri, berkata, langkah itu dibuat bagi mengurangkan beban ditanggung pelajar yang tidak mempunyai sumber pendapatan selain bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa. – KOSMO! ONLINE