HOBI memancing mungkin sangat sinonim dengan golongan lelaki, apatah lagi apabila ia menjadi aktiviti yang kerap dilakukan ketika kecil di kampung dan kawasan pedalaman.
Bagi Muhamad Hafiz Zainol, 31, dia sudah biasa dengan aktiviti memancing sejak kecil.
Katanya, hobi berkenaan tidak pernah ditinggalkan walaupun agak sibuk dengan kerjanya sebagai anggota pasukan penyelamat.
Muhamad Hafiz berkata, bagi memenuhi tuntutan hobinya itu, dia kerap menjadikan kawasan tasik dan sungai sekitar Putrajaya sebagai tempat memburu pelbagai spesies ikan.
“Saya meminati aktiviti memancing ini sejak berusia lapan tahun.
“Ketika itu, saya selalu memancing di sawah padi, selain di sungai-sungai berhampiran rumah di kampung.
“Apabila tamat persekolahan dan sudah bekerja, saya mula menjadi pemancing tegar.
“Saya kerap melakukan aktiviti tersebut terutama pada hujung minggu sama ada bersama rakan-rakan atau berseorangan,” katanya yang berasal dari Perlis.
Menurut anggota bomba di salah sebuah balai di Putrajaya itu, biarpun mempunyai masa lapang yang agak terbatas disebabkan tuntutan kerja, namun ia tidak menghalangnya untuk meredah pelbagai lokasi dan ‘port’ memancing.
Antara lokasi yang kerap dikunjunginya adalah di kawasan tasik dan sungai berhampiran Putrajaya seperti di Desa Pinggiran Putra, Jenderam, Dengkil, Bangi, Kajang dan Semenyih.
Katanya lagi, dia gemar memburu ikan air tawar daripada spesies bersisik sama ada lampam, likuh, rohu, tongsan, jelawat dan haruan.
Muhamad Hafiz menambah, dia juga memburu baung dan patin di kawasan sungai berhampiran sekiranya ingin mengubah angin.
“Teknik yang saya gunakan bergantung kepada sasaran pada hari tersebut.
“Sekiranya ingin memancing ikan bersisik, saya lebih gemar menggunakan teknik bottom. Dengan melihat radar pada tali dan sembat mata kail, ia memudahkan saya tahu sekiranya umpan sudah dijamah ikan.
“Jika memancing baung dan patin pula, biasanya saya akan menggunakan teknik bottom dengan balingan umpan ke dasar dan menunggu sehingga ikan membahamnya.
“Ada kalanya juga, saya akan menggunakan teknik casting untuk memburu spesies ikan tertentu seperti raja, sebarau, toman dan haruan,” katanya.
Bercakap mengenai umpan pula, Hafiz berkata, dia kerap menggunakan umpan dedak ayam kuning dan dicampur dengan tepung gandum dan udang beras.
Umpan hidup seperti anak ikan pula akan digunakan bagi memburu baung, manakala roti bagi menaikkan patin.
Penggunaan joran, mesin, tali pancing dan mata kail pula akan dipadankan mengikut kesesuaian spesies ikan yang hendak dikail.
Sebagai contoh katanya, dia akan menggunakan joran spesifikasi sederhana ringan dengan tali bersaiz 10 paun jika ingin memburu ikan bersisik.
Sementara itu, joran dengan spesifikasi lebih tinggi dan penggunaan tali bersaiz 20 hingga 30 paun digunakan untuk memancing ikan tidak bersisik.
Antara ikan tidak bersisik yang menjadi sasaran adalah patin dan baung kerana memiliki kekuatan tarikan.
“Saya lebih gemar memancing di kawasan lubuk yang sederhana dalam dengan keadaan air tenang dan tidak terlalu laju.
“Jika memancing di sungai, saya akan mencari kawasan berteluk sebagai ‘port’ untuk memburu ikan.
“Jika musim kemarau, saya akan menjadikan kawasan alur air untuk memburu ikan air tawar.
“Kalau kawasan lebih luas seperti tasik dan lombong pula, saya akan mencari lokasi yang dikatakan lubuk ikan,” ujarnya.
Bercerita mengenai ikan terberat yang pernah dipancing, Muhamad Hafiz memberitahu, pengalaman menaikkan temoleh seberat 8.2 kilogram telah menjadi antara kenangan manis buat dirinya sepanjang bergelar pemancing.