SIK – Banglo mewah milik Sahabudin Mohd Nor, 57, yang merupakan abang Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor bernilai RM1 juta, bukannya RM7.8 juta seperti didakwa sebelum ini.
Menurut Shahabudin, banglo yang mempunyai enam bilik itu adalah hasil titik peluhnya yang disimpan sedikit demi sedikit bagi merealisasikan impian untuk membina kediaman yang selesa untuk enam anak serta isterinya.
“Tanah dan rumah lama ini adalah pusaka daripada ibu mentua yang diberikan kepada isteri. Sebelum ini kami menetap di Sungai Petani, selepas bapa mentua meninggal dunia, setelah kata sepakat dicapai kami pulang ke kampung untuk menjaga ibu.
“Berita rumah ini bernilai RM7.8 juta itu tidak betul, sebut harga pembinaan rumah ini hanya lebih kurang RM800,000 sahaja, setelah ditambah lebih kurang RM1 juta. Kalau harganya RM7.8 juta, baik saya jual saja rumah ni, lagi untung,” katanya.
Jelas Shahabudin yang merupakan penyelam dasar laut selepas berhenti berkhidmat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ujarnya, rumah yang dibina bermula Febuari 2022 hingga sekarang itu merupakan hasil simpanan gaji penyelam dasar laut di luar negara.
“Gaji yang saya terima bergantung kepada kontrak yang diperoleh. Ada yang bagus (jumlah) ada yang kurang bergantung kepada keadaan syarikat yang menawarkan pekerjaannya,” katanya yang enggan berkongsi jumlah gaji sebenarnya.
“Saya bukan ahli politik dan tidak kena mengena dengan Sanusi. Saya hanya orang biasa. Jadi hentikanlah fitnah ataupun isu yang tidak masuk akal ini kerana sedikit sebanyak ia menjejaskan kehidupan harmoni saya seisi keluarga,” katanya.-KOSMO! ONLINE