PETALING JAYA – “Tercalon sebagai Top 5 artis komedi popular buat ibu saya menangis terharu.”
Itu respons pelakon terkenal Bell Ngasri mengenai reaksi ahli keluarganya selepas diumumkan sebagai calon bagi kategori Artis Komedi Popular Anugerah Bintang Popular, baru-baru ini.
Menurut Bell atau nama penuhnya Ngasrizal Ngasri, 43, ibunya, Habibah Jaafar menitiskan air mata sejurus dimaklumkan mengenai dirinya tersenarai sebagai finalis kategori artis komedi.
“Reaksi ahli keluarga bila dapat tahu saya tercalon, memang seronok. Bagi mereka, akhirnya ada satu pencapaian yang boleh dibanggakan dalam keluarga.
“Beberapa hari ini, entah kenapa mak saya sedih sangat. Mungkin terharu melihat anak yang dia sendiri bawa masuk dalam industri sejak kecil akhirnya tercalon.
“Namun saya pesan kepadanya, ‘buat biasa sudahlah’,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Sementara itu, dia turut terkejut dengan sokongan yang diberikan peminat untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
“Alhamdulillah, entah macam mana ramai yang menyokong saya. Kalau boleh nak jumpa dengan semua yang membuatkan saya berjaya tersenarai sebagai finalis.
“Satu sahaja harapan saya, kalau boleh tidak mahu terlalu dibuai dengan mimpi.
“Saya tak mahu piala atau anugerah lain pun. Sokongan dan kasih sayang peminat seperti sekarang pun sudah cukup buat saya bersyukur,” katanya lagi.
Selain Bell, empat lagi selebriti lain yang turut tercalon dalam kategori Artis Komedi Popular iaitu Zizan Razak, Jaa Suzuran, Johan dan Syahmi Sazli. – KOSMO! ONLINE