PUTRAJAYA- Kerajaan sudah membelanjakan sejumlah RM188 bilion daripada keseluruhan peruntukan Belanjawan 2023 setakat Jun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu meliputi 49 peratus daripada nilai peruntukan iaitu lebih tinggi berbanding tempoh sama dari tahun-tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui jumlah itu masih tidak memuaskan kerana ia sepatutnya sudah mencapai 60 peratus perbelanjaan.
“Jumlah yang dibelanjakan ini maknanya ada perubahan, pelaksanaan cepat dan pantas, jauh lebih baik dari tahun sebelumnya.
“Tetapi ia tidak memuaskan kerana harus mencapai 60 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di sini hari ini.
Dalam Belanjawan 2023 lalu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion bagi tahun ini, meningkat berbanding RM332 bilion untuk Belanjawan 2022 dan RM322 bilion untuk Belanjawan 2020.
Jumlah itu meliputi RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. -KOSMO! ONLINE