fbpx

Tesla pilih Selangor buka pusat servis, ibu pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. Foto Ihsan AFP

SHAH ALAM – Kerajaan negeri bersedia menjadi memudahcara kemasukan syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc. yang akan membuka ibu pejabat, pusat servis, dan pusat pengalaman di Selangor pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kehadiran Tesla Inc. di Selangor menggambarkan keyakinan komuniti pelabur terhadap pentadbiran ini dan bakal menggalakkan lebih banyak syarikat antarabangsa yang menceburi bidang teknologi bateri untuk melabur di Selangor.

Katanya, ia juga meningkatkan keinginan generasi muda untuk mendalami bidang teknologi tinggi khusus dalam industri tenaga bersih.

“Ini bukan sahaja penting dalam industri kereta persendirian tetapi juga penggunaan bateri tenaga bersih dalam industri pengangkutan awam seperti rel, bas, dan van.

“Perkembangan ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai negeri fasiliti 5G paling cekap di Asia Tenggara sebagai antara asas untuk menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara yang menawarkan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi kepada orang Selangor khususnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan antara lokasi yang telah dikenalpasti sebagai tapak adalah di Daerah Petaling serta Daerah Sepang.

“Pejabat daerah serta pihak berkuasa berkait bersedia memudahcara dan menyelaraskan proses kemasukan pelaburan ini,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan secara maya bersama Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk sekali gus dilihat bakal membuka laluan baharu dalam industri tenaga bersih di negara ini.

Pertemuan selama 25 minit bermula pukul 9.30 pagi itu turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan tahniah serta dokongan kerajaan atas pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla di Selangor pada tahun ini. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI