PETALING JAYA – Pelakon Puteri Sarah mempertahankan diri dengan menegaskan tiada isu perlu dibangkitkan sekiranya dia keluar bekerja meskipun masih dalam tempoh edah.
Kata wanita yang kini berstatus ibu tunggal itu, dia sudah membuat rujukan mengenai perkara berkenaan selain memaklumkan kepada bekas suaminya, Syamsul Yusof jika mahu keluar bekerja.
“Saya sendiri ada membuat bacaan dan mencari maklumat mengenai wanita yang sedang dalam edah. Sekiranya suami meninggal dunia, baru si isteri perlu berkabung, tak boleh keluar dari rumah mahu pun berhias.
“Macam saya, saya perlu keluar untuk kerja. Edah untuk wanita bercerai macam saya pula lain, dalam masa tiga bulan, saya kena beritahu bekas suami jika saya perlu keluar.
“Dia (Syamsul) juga maklum termasuk urusan ke Jakarta tempoh hari pun, dia tahu saya ‘shooting’,” katanya ketika ditemui di majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-35 Berita Harian (ABPBH35), baru-baru ini.
Pada masa sama, pelakon drama Hijrah Jannah itu berkata, dia tidak berkecil hati dengan dakwaan netizen, malah segera tampil menceritakan perkara sebenar andai ada pihak yang masih samar berkenaan edah cerai dan mati.
“Saya tiada masalah apabila ada orang bercakap tentang perkara itu, cuma jika tidak tahu saya akan maklumkan hal sebetulnya.
“Orang ramai pun tahu saya sibuk bekerja sebab banyak yang saya kongsi dalam media sosial,” tambah aktres berusia 38 tahun itu.
Terdahulu, segelintir netizen dalam media sosial mempersoalkan tindakan Puteri Sarah seperti tidak menghormati tempoh edah selepas bercerai dengan Syamsul.
Puteri Sarah dan pengarah sensasi itu berkahwin pada 8 Mac 2014 dengan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, namun bercerai talak satu pada 13 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE