BELLEVILLE, Perancis – Pelumba pasukan Cofidis, Ion Izagirre berjaya meloloskan diri dengan melakar kemenangan pada perlumbaan peringkat ke-12 Tour de France (TdF) sekali gus berjaya menamatkan kemarau kemenangan 15 tahun pasukannya itu.
Kali terakhir Confidis mencatat kemenangan di peringkat perlumbaan TdF pada 2008 menerusi Samuel Dumoulin dan kali terakhir pasukan tersebut pernah mendahului jersi kuning lima hari menerusi Laurent Desbiens (1998) dan David Millar (2000).
Bagaimanapun, perlumbaan 169 kilometer tersebut tertumpu kepada pertarungan antara juara bertahan, Jonas Vingegaard dari pasukan Jumbo-Visma dan Tadej Pogacar (UAE Team Emirates) untuk merebut jersi kuning.
Ketika ini, Vingegaard mengakui dia perlu waspada selepas hanya dipisahkan 17 saat di depan Pogacar selepas perlumbaan selama tiga hari meliputi saingan mencabar terutama peringkat pendakian.
“Esok (hari ini) akan menjadi hari penentuan. Ia adalah perlumbaan yang menyajikan pendakian yang panjang dan sukar, semuanya bergantung kepada siapa yang berasa baik dan siapa yang tidak,” kata Vingegaard.
Juara 2020 dan 2021, Pogacar memberi amaran bahawa dia akan bekerja keras untuk memburu kemenangan.
“Misi saya adalah mahu memenangi perlumbaan tersebut. Ia adalah pendakian yang bagus, jika saya mempunyai kekuatan pada kaki, saya akan melakukan pecutan awal. Kalau boleh saya mahukan kemenangan lebih awal sebelum Grand Colombier,” katanya.
Perlumbaan peringkat ke-13 hari ini akan meliputi laluan sejauh 138 kilometer (km) melibatkan kawasan pendakian dari Chatillon-Sur-Chalaronne ke Grand Colombier diikuti peringkat ke-14 sejauh 152 km dari Annemasse ke Morzine Les Portes Du Soleil. – AGENSI