LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan memalukan pasukannya kepada Aston Villa yang meraih keputusan selesa 0-3 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Kata Arteta, barisan pemainnya sedar bahawa mereka tidak beraksi seperti yang diharapkan selain ketumpulan jentera serangan yang begitu ketara selepas hanya menjaringkan satu gol pada empat perlawanan liga terakhir.
“Kami bermain di bawah tahap sebenar dan inilah kali pertama saya saksikan pasukan bermain dengan begitu teruk, tidak mengikut perancangan yang ditetapkan.
“Namun, saya bersedia untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya selain pujian juga wajar diberikan kepada Villa yang telah mempamerkan aksi yang cukup hebat hingga memberi kesukaran buat pasukan ini.
“Secara jujur, saya sangat kecewa kerana bukan mudah untuk mencipta momentum kemenangan selepas meraih keputusan positif menang ke atas Manchester United sebelum ini.
Bagaimanapun, inilah lumrah bola sepak dan ia bakal menjadi pengajaran berguna buat pemain,” katanya.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Sepanyol itu berharap kecederaan yang dialami oleh pemain tengah baharu, Thomas Partey tidak terlalu serius selepas bekas bintang Atletico Madrid itu terpaksa dikeluarkan pada babak pertama.
“Saya harap Partey tidak akan berehat panjang dan mengalami kecederaan serius,” katanya. – AGENSI