fbpx

Anwar jumpa Elon Musk secara maya selama 25 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar mengadakan pertemuan maya bersama Elon Musk di Pejabat Perdana Menteri pada pukul 9.30 pagi tadi. FOTO IHSAN PMO

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan secara maya bersama Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk sekali gus dilihat bakal membuka laluan baharu dalam industri tenaga bersih di negara ini.

Pertemuan selama 25 minit bermula pukul 9.30 pagi itu turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Anwar berkata, beliau mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia selain kesediaan Elon Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc untuk datang ke negara ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan tahniah serta dokongan kerajaan atas pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla di Selangor baru-baru ini.

“Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050.

“Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif serta sumber berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini tadi.

Anwar berkata, menerusi sidang maya itu, mereka turut berbincang berkenaan penyertaan SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink di mana ia dijangka menyumbang kepada capaian internet lebih laju.

“Kami turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman.

“Ia memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat terutamanya daripada aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI