fbpx

Enam kluster aktif di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Masyarakat di negeri ini diminta untuk sentiasa berwaspada bagi mengelak penularan Covid-19 berikutan Negeri Sembilan kini merekodkan enam kluster aktif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan berkata, enam kluster aktif itu membabitkan Kluster Cergas, Kluster Taman Bunga, Kluster Lengkuk, Kluster Kaya, Kluster Jernih dan Kluster Gedong.

Menurutnya, selain itu, Negeri Sembilan juga sekali lagi mencatatkan kes baharu harian Covid-19 antara tertinggi di negara ini iaitu sebanyak 260 kes.

“Kena jaga diri sendiri. Kita menghadapi musuh yang tidak dapat dilihat. Kita tidak tahu di mana Covid-19 berada. Pihak Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan telah menjalankan tugas dan pantauan yang baik.

“Saya harap orang ramai tidak panik dan kita semua mempunyai tanggungjawab dalam memutuskan penularan Covid-19 ini. Sentiasalah patuhi prosedur operasi standart (SOP) dan elakkan diri daripada mengunjungi tempat tumpuan orang ramai,” katanya ketika dihubungi di sini tadi.

Veerapan berkata, tambahan kes harian baharu berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan di negeri ini sebanyak 2313 kes di mana 680 kes masih menerima rawatan di wad.

Menurutnya, daerah Seremban berada di bawah zon merah dengan catatan kes sebanyak 780 kes di mana tiga mukim merah dicatatkan berdasarkan jumlah kes tempatan yang didaftar dalam tempoh 14 hari iaitu mukim Labu sebanyak 348 kes; mukim Ampangan (267 kes); dan mukim Rantau (64 kes).

“Manakala, tiga mukim lagi di daerah Seremban mencatatkan mukim jingga berdasarkan PPRD iaitu mukim Rasah sebanyak 40 kes; mukim Seremban (22 kes) dan mukim Setul (31 kes).

“Mukim Lenggeng dicatatkan sebagai mukim kuning di Seremban dengan bilangan lapan kes, manakala, mukim Pantai kekal menjadi mukim hijau,” jelasnya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI