fbpx

Dua beradik Rohingya dicekup cuba rasuah polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

TANAH MERAH – Dua beradik etnik Rohingya dicekup selepas cuba menyogok anggota polis dengan wang tunai sebanyak RM200 sebagai dorongan untuk melepaskan salah seorang daripada mereka yang melakukan kesalahan memandu kereta tanpa lesen semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, sepasukan anggota polis yang menjalankan ronda cegah jenayah telah menahan sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di depan Sekolah Kebangsaan Alor Pasir di sini kira-kira pukul 6.40 petang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, dua lelaki etnik Rohingya berada di dalam kereta tersebut sebelum polis meminta pemandunya menunjukkan lesen memandu.

“Pemandu kereta terbabit yang tidak mempunyai lesen memandu kemudiannya cuba menyogok anggota polis dengan menghulurkan wang tunai sebanyak RM100 sebagai duit kopi.

“Wang tersebut diberikan sebagai dorongan agar anggota polis tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mohd. Haki memberitahu, rentetan daripada tangkapan itu, seorang lelaki etnik Rohingya datang ke Balai Polis Bukit Panau di sini kira-kira pukul 9.05 malam semalam sebelum bertanyakan mengenai adiknya yang ditahan oleh polis.

Menurutnya, anggota polis bertugas memaklumkan bahawa adiknya masih berada dalam kawalan polis untuk tindakan lanjut.

“Lelaki itu kemudiannya memberitahu polis ‘abang tak boleh tolong kah,saya mahu bayar RM300 kalau abang lepas adik saya’ sambil menghulurkan wang tunai RM100 kepada anggota bertugas.

“Sogokan tersebut dilakukan oleh suspek sebagai dorongan agar polis tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap adiknya,” ujarnya.

Menurut Mohd. Haki, dua beradik itu kini diberkas dan wang sogokan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI