LUMUT – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) memohon kerajaan meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya.
Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, PKKP yang akan ditamatkan hujung tahun ini, wajar diteruskan sebagai menghormati dan menghargai jasa-jasa perkhidmatan serta pengorbanan veteran anggota tentera kepada negara.
“Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu mengisytiharkan pindaan undang-undang berkaitan pencen yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun bermula 2013 sebagai tidak sah.
“Bagaimanapun, mesyuarat Kabinet semalam mengumumkan bayaran dua peratus itu yang sudah dibayar tidak akan dianggap sebagai kenaikan pencen tetapi sebagai PKKP dan diteruskan hingga Disember ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas keputusan itu dan memohon ia dapat diteruskan,” katanya pada sidang akhbar ketika menghadiri program Jejak Pusara Pahlawan di Kampung Panchor, Pantai Remis, dekat sini hari ini.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah selepas menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membatalkan keputusan itu. – KOSMO! ONLINE