fbpx

Op tapis khas: 4,718 individu ditahan miliki pelbagai dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah selepas menahan 4,718 individu termasuk 101 warga asing menerusi Op Tapis Khas di seluruh negara antara Isnin hingga Rabu lalu.

Operasi khas selama tiga hari itu dijalankan 2,142 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 1,258 sarang penagihan dadah membawa kepada penahanan individu berusia antara 14 hingga 70 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Sri Mohd Kamaruddin Md Din berkata, pihaknya merampas bahan terlarang seperti air ketum (2,778.92 liter), daun ketum (122kg), heroin (4.6kg), syabu (2.31kg), ketamin (0.03kg), ganja (69.4kg), pil erimin 5 (0.11kg), pil yaba (3.9kg), ekstasi (0.02kg), pil psikotropik (0.004kg), kodein (11.04 liter), candu (0.006kg) dan satu pokok ganja.

Turut disita, wang tunai berjumlah RM9,760 serta kenderaan bernilai RM408,400 yang membawa kepada nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM972,087.82.

“Untuk perincian, kita periksa 4,630 orang dan daripada itu, kita tahan 4,718 individu. Tahanan termasuk 655 tokan, 2,272 penagih, 249 individu dikehendaki kesalahan dadah dan lain-lain kesalahan (1,542).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 39C, Seksyen 12(2) Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” ujarnya.

Jelasnya lagi, seramai 12,639 individu ditahan sepanjang operasi ini dimulakan sejak Januari yang melibatkan sejumlah 2,304.44kg dan 3,967.88 liter pelbagai jenis dadah yang bernilai lebih RM22 juta.

“JSJN terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah. Sebarang maklumat berkaitan dadah boleh hubungi JSJN di talian 012-2087222,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI