DUNGUN – Seorang murid perempuan darjah tiga sebuah rendah sekolah di daerah ini mengalami kecederaan dan lebam di belakang badan dan tangannya dipercayai dipukul ibu tirinya Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ia terbongkar selepas kanak-kanak tersebut mengadu mengalami kesakitan pada bahagian belakang badan sewaktu perhimpunan pagi pada Isnin lalu.
“Pemeriksaan pada badan mangsa oleh seorang guru wanita menjumpai kesan lebam yang teruk pada bahagian tangan kanan, belakang badan dan kedua-dua belah paha. Hasil soal siasat awal juga menjumpai sekurang-kurang 11 kesan pukulan pada belakang badan mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, mangsa dikatakan dipukul dengan rotan oleh ibu tirinya selepas gagal memahami pembelajaran latihan diajar oleh suspek.
“Mangsa mendakwa pernah dipukul oleh suspek sebelum ini namun tidak seteruk pada hari kejadian. Ibu tiri mangsa berusia 30 tahun telah ditahan pada pukul 3.30 petang, Isnin lalu dan selama empat hari sehingga esok,” katanya.
Baharuddin berkataz kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Dungun di sini untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE