PETALING JAYA – Punca penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing dan pekerja asing tanpa izin (PATI) yang semakin meningkat adalah ekoran kesesakan di tempat tinggal atau depoh tahanan sementara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau difahamkan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bahawa sesetengah rumah kongsi didiami sehingga 40 orang dan keadaan itu menjadi punca Covid-19 menular dan berjangkit dengan cepat.
“Keadaan yang sama turut berlaku di pusat-pusat tahanan terutama di Sabah yang terpaksa menampung jumlah kemasukan PATI yang sangat ramai.
“Saya berpandangan Kementerian Sumber Manusia perlu memaklumkan majikan terlibat dan menekankan tentang pentingnya penjagaan status kesihatan pekerja masing-masing selain pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Berhubung kos ujian swab bagi pekerja asing yang perlu ditanggung majikan, katanya, beliau telah mengarahkan supaya perkara ini segera dibincangkan dengan terperinci dan dibentangkan oleh agensi-agensi terlibat pada sidang MKN akan datang.
“Saya turut membangkitkan persoalan mengenai SOP berhubung jumlah penumpang yang dibenarkan berada di dalam kenderaan pada satu-satu masa.
“Saya berpandangan jumlahnya tidak boleh berbeza-beza, perlu ada satu ketetapan yang selaras antara jumlah di dalam kenderaan persendirian dan kenderaan e-hailing,” katanya. – K! ONLINE