“SUATU hari nanti saya ingin menjadi seorang yang mampu berdiri di hadapan jutaan orang dan bercakap tentang betapa pentingnya penjagaan kesihatan mental.
“Bukan untuk berkongsi cerita jatuh bangun, tetapi saya ingin membuka minda semua untuk kenal makna tekanan perasaan,” luah Zynakal yang lagaknya tidak ubah seperti figura politik dalam kempen pilihan raya.
Menceritakan perancangannya lima tahun mendatang, penyanyi berusia 22 tahun itu sudah punya rencana rapi dalam menentukan haluan kompas hidupnya.
Setiap kata seperti sudah disusun rapi oleh jejaka yang mesra disapa sebagai Zyn sehinggakan tiada ruang walau sesaat untuk dia berfikir sebelum meluahkan kata.
Boleh dianggap masih muda, Zyn bagaimanapun sudah menggantungkan impian untuk mendidik generasi masa kini terhadap pentingnya kesedaran terhadap gangguan mental.
Mungkin topik tersebut tidak kedengaran canggung sekiranya dikaitkan dengan Zyn sementelah dia sendiri pernah mengakui, menghidap kecelaruan bipolar dan kemurungan.
Bukan mudah untuk seseorang membuka mulut mengenai perkara yang sememangnya taboo dalam kalangan masyarakat.
Tetapi Zyn nekad untuk mengubah pandangan tersebut.
Zyn turut meluahkan rasa gusar sekiranya golongan belia tidak diberi pendedahan tentang hal ini kerana ia akan menjejaskan emosi mereka.
Bukan untuk ‘memijak’ apatah lagi membelakangkan golongan cerdik pandai tetapi Zyn sekadar ingin membuka ruang buat golongan yang senasib dengannya mencari solusi untuk bebas daripada cengkaman emosi.
“Saya yakin dan percaya tidak ada yang salah dalam takdir hidup kita ini. Setiap yang berlaku pasti ada rahsia dan hikmah.
“Sejujurnya saya sendiri tidak ingin mengalami penyakit sebegini tetapi segalanya takdir dan pasti punya rahsia di sebaliknya.
“Tuhan jadikan saya dikenali dan saya diberi peluang menceburi bidang ini pasti bersebab.
“Saya tidak mahu sesudah mati kelak, bakat dan idea yang miliki ini ‘mempersoalkan’ saya bahawa mereka tidak digunakan ke arah kebaikan,” jelasnya bersungguh-sungguh.
Bagi Zyn setiap pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki berhak untuk dikongsi bersama individu lain, terutama individu yang memilih memendam emosi sendirian.
Perasaan
Bukan sekadar omong kosong, Zyn turut menjadikan muzik sebagai medium untuk meluahkan perasaan.
Bermula dengan Sakit, Zyn kini tampil dengan lagu baharu bertajuk Perasaan.
Akui Zyn, bait-bait lirik lagu baharu tersebut adalah eksprementasi yang dilakukan selepas menghasilkan single Sakit.
Katanya, hidup dengan penyakit yang tidak menampakkan darah di mata bukan satu perkara mudah apatah lagi ketika usianya masih mentah.
“Dalam Sakit saya menceritakan tentang penyakit yang dihidapi.
“Ibarat mukadimah penceritaan. Kemudian saya cuba kaji dan fahami bagaimana seseorang itu boleh mengalami gangguan mental.
“Bermula daripada situ, saya melihat perasaan memainkan peranan penting kerana itulah yang mengawal kewarasan seseorang.
“Semakin dipendam semakin sakit yang ditanggung,” ujar Zyn yang turut berkongsi cerita dia pernah mengalami kemurungan hampir lapan bulan.
Sisi positif
Melanjutkan cerita tentang lagu baharunya, Zyn tidak pernah terlintas untuk menjaja cerita mengenai penyakit bipolar yang ditanggung semata-mata untuk meraih publisiti.
Serupa juga dengan tragedi kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Zuraidah Ibrahim pada September lalu.
Hampir dua bulan pemergian insan tersayang, nada suara Zyn sedikit berubah tatkala bercerita mengenai ibunya.
Biarpun bicara sedikit perlahan, Zyn menerima takdir dengan hati terbuka. Dia bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu ibunya sebelum dijemput Ilahi.
Setelah mengakui dirinya baik-baik saja, penceritaan beralih ke arah tujuan dia mencipta lagu.
Mengakui kebanyakan lagu di pasaran bersifat merintih meratapi kekecewaan putus cinta, dia tiada masalah dengan keadaan tersebut.
Bagaimanapun, kata Zyn, penceritaan sebegitu seakan-akan tidak memberi peluang kepada pendengar untuk mencari jalan keluar daripada kekecewaan yang dialami.
“Saya pula ingin melahirkan sebuah karya boleh dijadikan inspirasi dan memberi semangat untuk bangkit.
“Bayangkan bagaimana perasaan mereka berdepan dengan kekecewaan dalam hubungan ditambah pula dengan lagu sebegitu, gelora emosi pasti berlaku.
“Disebabkan saya berusaha untuk menyalurkan tenaga positif dan maka terhasilkan lagu Perasaan,” terangnya.
Bukan bermaksud menafikan karya individu lain, Zyn sekadar mahu pendengar mempunyai keseimbangan daripada terus hanyut dan leka dibuai emosi melodrama.
Kongsi pengalaman
Single Perasaan yang dihasilkan sepenuhnya oleh Zyn akan menjalani penggambaran video muzik dalam masa terdekat.
Segala perancangan bagaimanapun bergantung kepada keadaan semasa serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepanjang negara masih berdepan penularan Covid-19.
Namun, Zyn mengharapkan perancangannya itu berjaya direalisasikan pada bulan November sementelah video lirik Perasaan telah dimuat naik dalam YouTube oleh Warner Music Malaysia pada 23 Oktober lalu.
Selain perancangan klip video, Zyn turut berhasrat untuk memiliki sebuah program yang menceritakan tentang gangguan mental.
Masyarakat sering melabelkan penghidap gangguan mental sebagai gila mahupun memandang serong kepada individu yang menghidapi masalah seperti gangguan kecemasan (anxiety), obsessive kompulsif (OCD), gangguan keperibadian (personality disorder) ataupun skizofrenia.
Bagi Zyn, golongan sebegitu harus dibantu dan bukannya disisihkan.
“Saya kerap juga menerima mesej daripada peminat dan pempengaruh (influencer) yang menghantar mesej bertanyakan cara untuk menghadapi tekanan terutama apabila menerima kecaman dalam media sosial.
“Tujuan saya untuk membantu, sama ada program tersebut untuk siaran digital atau televisyen, semuanya masih dalam peringkat pembincangan,” terang Zyn.
Zyn berharap impian tersebut mampu direalisasikan. Katanya, mungkin program boleh membuatkan dirinya menjadi seperti idolanya, aktor Danzel Washington.
Mengagumi personaliti dan kredibiliti pelakon berusia 65 tahun itu, Zyn sebenarnya kerap meluangkan masa menonton video motivasi yang disampaikan oleh Danzel sebagai pembakar semangat.