BRISBANE, AUSTRALIA – Seorang wanita terkejut apabila menemui rangka makhluk dikatakan menyerupai ikan duyung atau mermaid terdampar di tepi Pantai Keppel Sands di Queensland, lapor akhbar Daily Star semalam.
Bobbi-Lee Oates memuat naik gambar tersebut di laman Facebook. Ia memaparkan rangka sejenis makhluk memiliki panjang kira-kira 182 sentimeter.
“Ia mempunyai tengkorak menyerupai bentuk tengkorak manusia dengan garisan rahang yang memanjang dan bulu menyerupai warna lembu atau kanggaru.
“Ia kelihatan amat sama dengan bentuk ikan duyung, namun berbulu dan kelihatan mempunyai ekor,” kata Oates.
Wanita itu memuat naik gambar tersebut di laman Facebook, manakala ada pengguna berpendapat bahawa rangka itu milik ikan duyung. Sebilangan netizen lain pula mendakwa bahawa penemuan itu adalah rangka dugong.
Seorang pakar di Persatuan Zoologi di London, Rob Deaville bagaimanapun berkata: “Bagi saya, ia kelihatan seperti cetacean kecil.”
Cetacean adalah mamalia akuatik yang merangkumi ikan paus dan ikan lumba-lumba. – Agensi