BIARPUN gagal melangkah ke final Kejohanan Olahraga Asia 2023 tetapi jaguh 400 meter (m) negara, Umar Osman tetap boleh mendabik dada apabila mengekalkan statusnya sebagai pelari terpantas Asia Tenggara.
Umar, 20, merekodkan 46.42 saat (s) pada separuh akhir di Stadium Nasional, Bangkok, Thailand kelmarin yang merupakan catatan terpantas Asia Tenggara berbanding semua pelari di rantau ini.
Catatan terdekat menghampirinya kelmarin adalah Joshua Robert Atkinson dari Thailand yang melakukan 46.43s dan atlet Filipina, Frederick Ramirez dengan masa 46.53s.
“Saya sudah berikan yang terbaik dalam semua larian, jadi saya berpuas hati walaupun tidak layak ke final. Objektif utama saya di sini mahu mengekalkan masa 46s sahaja.
“Sekarang saya konsisten berlari dengan catatan masa ini. Jadi saya percaya dapat lakukan masa lebih baik apabila turun ke Sukan Universiti Dunia (WUG) di Chengdu, China hujung bulan ini,” kata Umar.
Jurulatihnya, Simon Lau berpandangan Umar mampu memecahkan rekod kebangsaannya dengan catatan 46.34s dilakukan pada Sukan SEA Kemboja 2023 jika tidak diletakkan di lorong lapan pada separuh akhir kelmarin.
Simon berbangga dengan prestasi ditunjukkan juara Sukan SEA Kemboja 2023 itu yang hampir-hampir berjaya memadam rekod kebangsaannya walaupun perancangan awal mereka mahu melakukannya pada WUG di China nanti.
“Teknik larian Umar semua dah betul tetapi dia tiada pengalaman berlari di lorong lapan. Strategi berbeza diperlukan kalau di lorong lapan berbanding lorong-lorong dalam seperti tiga hingga lima.
“Saya tak harap dia buat rekod tetapi saya pesan supaya dia perlu konsisten dengan masa 46s. Saya dah hubungi dia dan beritahu saya gembira dan berpuas hati dengan pencapaiannya di sana,” jelas Simon.