PETALING JAYA – Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer tidak berpuas hati dengan jarak balingannya walaupun berjaya meraih tempat keenam Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand.
Jackie, 31, terkilan kerana tiga balingannya batal dan terpaksa akur dengan catatan terbaik 65.07 meter (m) pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional hari ini.
“Saya berpuas hati dengan kedudukan keenam tetapi saya cuma buat balingan 65.07m. Saya tak gembira kerana merasakan dapat melakukan yang lebih baik.
“Mungkin sebab saya all out dalam setiap balingan menyebabkan (tukul besi) terjatuh dan batal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Pingat emas menjadi milik jaguh China, Wang Qi menerusi catatan 72.13m, manakala perak dimenangi atlet Uzbekistan, Sukhrob Khodjaev dengan 71.83m dan gangsa pula diraih Shota Fukuda dari Jepun (71.80m).
Biarpun tempat keenam, sekurang-kurangnya Jackie berjaya menebus kekecewaannya tewas kepada atlet Thailand, Kittipong Boonmawan yang menjuarai Sukan SEA Kemboja 2023 apabila dia sekadar membuat balingan 62.14m.
Seorang lagi atlet negara, Sadat Marzuqi Ajisan pula meraih tempat ke-13 keseluruhan selepas melakukan balingan sejauh 59.40m.- KOSMO! ONLINE