PETALING JAYA – Atlet 110 meter (m) lari berpagar negara, Mohd. Rizzua Haizad Muhamad tidak perlu berasa terlalu kecewa gagal ke final esok pada Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand.
Sebaliknya, Rizzua, 26, boleh tersenyum kerana ini adalah kali keduanya dia berjaya berlari bawah catatan 14 saat (s) dengan masa 13.85s pada peringkat di Stadium Nasional hari ini.
Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Mark William Ling yang juga pengurus skuad olahraga negara di Bangkok turut gembira dengan prestasi atlet dari Sarawak itu.
“Dia sudah layak ke Program Podium. Ini satu permulaan yang baik buat dia,” dedah Mark yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM kepada Kosmo! hari ini.
Menariknya, catatan 13.85s itu adalah rekod peribadi baharu buat Rizzua yang sebelum ini mencetak masa 13.86s ketika mengambil bahagian pada Terbuka Taiwan di Stadium Banqiao dua bulan lalu.
Ketiadaan Rizzua yang dianggap pelari 110m berpagar terbaik negara ketika ini, menyaksikan Asia Tenggara mempunyai dua wakil di final iaitu John Christopher Tolentino (Filipina) dan Natthaphon Dansungnoen (Thailand).
Baki enam lagi peserta final esok ialah dua atlet Jepun, Shunya Takayama dan Taiga Yokochi; dua pelari China, Xiaohan Ning dan Xu Zhuoyi; Yefremov David (Kazakhstan) serta Yaqoub Alyouha (Kuwait). – KOSMO! ONLINE