fbpx

Wimbledon: Peluang Alcaraz lunas dendam lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALCARAZ bakal membuat perhitungan dengan Medvedev pada aksi separuh akhir Wimbledon selepas berjaya menundukkan Rune di suku akhir. – AFP

LONDON – Jaguh tenis No. 1 dunia, Carlos Alcaraz menepati ramalan menempah tiket ke pentas separuh akhir Wimbledon buat kali pertama selepas mengatasi Holger Rune dengan keputusan 7-6, 6-4, 6-4 dalam masa dua jam 20 minit kelmarin.

Biarpun mengakui masih belum menguasai sepenuhnya cabaran beraksi di gelanggang rumput, namun Alcaraz yakin kemenangan tersebut membantu meningkatkan keyakinannya kerana selepas ini akan berdepan pemain berpengalaman Russia, Daniil Medvedev.

Sebelum ini, Alcaraz tewas di tangan Medvedev 4-6, 1-6, 2-6 di pusingan kedua, dua tahun lalu ketika gelanggang rumput bukanlah kegemarannya.

Pada aksi separuh akhir nanti di Wimbledon, Alcaraz perlu berhati-hati kerana pada Mac lalu dia turut gagal mengatasi pemain Russia tersebut pada saingan di Indian Wells.

“Sejujurnya kemenangan ini benar-benar menakjubkan bagi saya dan impian saya sejak mula bermain tenis untuk mencatat keputusan terbaik di Wimbledon.

“Saya bermain pada tahap yang begitu baik dan tidak sangka dapat mara ke pentas separuh akhir terutama di gelanggang rumput ini. Bagi saya ini adalah sesuatu yang ‘gila’.

“Pada mulanya saya benar-benar gementar ketika memulakan pertarungan di peringkat suku akhir dan menentang Rune. Dia sebaya dengan saya dan bermain pada tahap yang hebat.

“Tetapi, apabila anda sampai ke suku akhir, anda perlu mengetepikan segalanya dan memberi tumpuan pada diri sendiri.

“Jadi, saya perlu lakukan sekali lagi di separuh akhir kerana ia akan menjadi pertembungan yang sukar bila berdepan Medvedev. Kami telah berjumpa sebanyak dua kali dan sekali di sini (Wimbledon)

“Sekarang saya akan menikmati saat ini kerana anda tidak bermain separuh akhir pada setiap tahun,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI