LONDON – Doktor-doktor muda Britain diminta menggunakan mogok terpanjang dalam sejarah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) sebagai peluang untuk pergi berkelah, mengadakan barbeku atau menganjurkan perlawanan bola sepak lima sebelah, lapor portal berita MailOnline semalam.
Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja berkata, ahli-ahlinya tidak perlu meluangkan masa lima hari bagi menyertai piket yang bermula hari ini kerana ia terlalu sukar.
Sebaliknya, mereka dinasihatkan untuk berhimpun dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi (waktu tempatan) pada hari pertama piket sahaja dan kemudian meluangkan masa bersama rakan-rakan serta keluarga.
Tindakan perindustrian itu menyaksikan sehingga 47,600 doktor yang merupakan ahli Persatuan Perubatan Britain (BMA) tidak akan memberikan sebarang penjagaan, termasuk kes kemalangan dan kecemasan lain serta wad kanser.
BMA berkata, doktor-doktor muda tidak sepatutnya berasa bersalah mengambil peluang itu untuk bercuti atau memanjakan diri.
Menurutnya, ini adalah peluang untuk mereka melakukan aktiviti seperti menghirup udara segar dan mendaki bersama ‘rakan sekerja’. Mereka juga boleh menganjurkan perlawanan bola sepak lima sebelah atau bola jaring, rounders atau apa sahaja yang menggembirakan.
Idea lain termasuk beriadah di taman, duduk di sofa sambil membaca buku, pergi berkelah atau mengadakan barbeku bersama pasangan.
Lebih 650,000 pelantikan dan operasi telah dibatalkan akibat tindakan industri NHS sejak Disember tahun lalu termasuk mogok oleh doktor muda, jururawat, ahli fisioterapi dan paramedik.
Doktor-doktor muda di Britain menuntut kenaikan gaji 35 peratus sebagai sebahagian daripada perjanjian setahun atau 49 peratus dalam tempoh dua tahun bagi menangani peningkatan ketara inflasi. – Agensi