LONDON – Villa Park kembali menjadi saksi ‘reunion’ antara pengendali Aston Villa, Unai Emery dan bekas pemainnya di Villarreal, Pau Torres yang sah menjadi miliki pasukan itu selepas melengkapkan perpindahan.
Bagaimanapun, Villa dan Villarreal tidak menyatakan nilai yuran perpindahan, namun ia dilaporkan menelan belanja £31.5 juta (RM190.4 juta).
“Pertahanan berusia 26 tahun yang memiliki 23 kap bersama pasukannya tiba di Villa dan bayaran perpindahan tidak didedahkan. Pemain berasal dari Villarreal, Torres sudah pun menjadi pemain utama buat kelab La Liga itu,” menurut kenyataan Aston Villa.
Torres dan Emery pernah bekerjasama termasuk ketika membantu Villarreal memenangi Liga Europa dengan menewaskan Manchester United pada 2021.
Torres menjadi pemain kedua yang berjaya direkrut oleh The Villans selepas turut membawa masuk Youri Tielemans daripada Leicester City bagi perkuatkan pasukan untuk hadapi Liga Konferens Eropah.
Untuk rekod, Torres melakukan debut dengan La Roja pada 2019 dan turut bermain di Euro 2020 serta Piala Dunia tahun lalu. – agensi