PUTRAJAYA – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, perlu melakukan taubat nasuha kerana menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah di Selayang, malam kelmarin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muhammad Sanusi juga diingatkan supaya tidak menjadikan semua perkara sebagai bahan kempen yang merosakkan diri sendiri.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, politik bukan bahan lawak atau gurauan dan beliau sendiri tidak akan melayan kempen seperti itu.
“Politik ini bukan bahan lawak, bukan bahan untuk bergurau, fakta adalah fakta. Saya tidak perlu berbahas dengan individu yang tidak bijaksana dalam mentafsir antara fakta dan auta.
“Faktanya adalah bagaimana Perikatan Nasional (PN) dititah menghadap, begitu juga Pakatan Harapan (PH) dititah menghadap (Yang Dipertuan Agong). Selepas itu, saya mewakili Barisan Nasional (BN) bersama dua rakan lain serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kalau itu satu tuduhan oleh seorang yang mengetuai kerajaan negeri yang pegangannya adalah Islam, saya harap taubat nasuha hendaklah diutamakan,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini
Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memandai-mandai dan menggunakan titah Agong untuk tubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Malah, dalam ceramah sama, Muhammad Sanusi turut menghina Sultan Selangor atas pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selain beberapa serangan peribadi terhadap menteri dalam Kerajaan Perpaduan. – KOSMO! ONLINE