PETALING JAYA – “Langkah mayat saya dulu. Biar saya uruskan (Pharmaniaga Bhd.)”.
Demikian tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan apabila terdapat pihak didakwa menggunakan pemimpin negara untuk membeli syarikat terbabit dengan harga yang murah.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan berbilion ringgit kepada anak syarikatnya untuk menjalankan perniagaan, maka ia perlu diurus dengan baik.
“Bagaimana saya bertengkar dalam (mesyuarat) Kabinet, hampir-hampir saja Pharmaniaga hilang konsesinya.
“(Anda) tanya Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman dan MOF (Kementerian Kewangan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2023-2025 (Mampan25) di The Bousteador, di sini hari ini.
Kata Mohamad, pemilikan syarikat tersebut tidak wajar dilepaskan kepada pihak lain sebaliknya ia boleh diurus oleh pihaknya sendiri.
“Bukan senang. Sampai ada orang buat bidaan melalui pemimpin tertinggi nak beli syarikat kita. Nak beli murah-murah.
“Jadi saya cakap tidak. Langkah mayat saya dulu. Biar saya uruskannya. Biar kita sama-sama uruskan syarikat kita dan saya sangat pasti kita boleh bangunkan sendiri,” ujarnya.
Sebelum ini, Pharmaniaga telah diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) bagi Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR).
PN17 adalah singkatan kepada Nota Amalan 17/2005 merujuk kepada syarikat yang mengalami masalah kewangan atau tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan Bursa Malaysia. – KOSMO! ONLINE