PETALING JAYA – Sekumpulan penunggang motosikal wanita yang sebelum ini tular mempamerkan aksi berbahaya di lebuh raya, kini berbangga pula apabila disaman pihak berkuasa.
Video tersebut tular menerusi TikTok memperlihatkan mereka bergelak ketawa seolah-olah berbangga telah menerima saman tersebut.
Menerusi video itu, kelihatan beberapa penunggang wanita berada di luar pagar sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Melaka sambil menunjukkan saman yang diterima.
Salah seorang penunggang tersebut menunjukkan enam saman diterima, manakala ada juga yang menerima lima atau tiga saman termasuk satu saman.
Dalam pada itu, pengguna media sosial meninggalkan pelbagai komen selain menyifatkan, saman tersebut tidak ‘menakutkan’ mereka kerana masih boleh bergelak ketawa.
“Undang-undang Malaysia terlampau lembut sampai surat saman dekat 10 keping pun macam tak rasa apa-apa,” komen Daniel.
“Saya masa muda macam tu juga, bangga bila disaman. Bila dah tua, rasa menyesal pula,” kata Jamil.
“Yang dapat saman banyak tu, mesti hantaran tinggi nanti,” seloroh seorang pengguna meninggalkan komen.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, tular rakaman sekumpulan penunggang motosikal wanita yang mempamerkan aksi berbahaya sewaktu melalui sebuah lebuh raya.
Tindakan mereka itu boleh terdedah kepada kemalangan dan memberi risiko keselamatan terhadap pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE