PETALING JAYA – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diminta menetapkan hala tuju baharu bagi mengubah persepsi negatif terhadap anak-anak syraikatnya termasuk Bousted Holding Berhad (BHB).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penelitian semula dari aspek perniagaan perlu dilakukan segera berikutan LTAT kini dilihat seperti ‘hidup segan mati tak mahu’, sejak kebelakangan ini.
“LTAT dan BHB bukan lagi satu premium produk di pasaran dan kita jangan biarkan keadaan ini berterusan, maka sesuatu yang drastik perlu dilakukan bersama.
“Dalam masa yang sama, kita berada dalam keadaan dunia yang berubah begitu cepat. Justeru, di dalam dunia korporat dan perniagaan kita tidak boleh statik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2023-2025 (Mampan25) di The Bousteador, di sini hari ini.
Mohamad berkata, LTAT diingatkan agar mengurus dana persaraan warga tentera sebaik mungkin dengan pelaburan yang tepat sekali gus dapat mengelakkan kerugian besar.
“Jadilah pengurus wang persaraan yang terbaik dalam negara dan bukanlah tempat diperlekehkan oleh pelbagai pihak.
“Banyak lagi aset yang LTAT ada perlu dibuka dan diterokai selain turut menyiapkan diri untuk melancarkan semula BHB milik kita dengan kegagahan dan azam baharu,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai pelan Mampan25 yang mengandungi empat teras utama, Mohamad berkata, penstrukturan semula itu bertujuan memberi hala tuju baharu kepada LTAT.
Antara teras yang diberikan perhatian ialah aspek pertumbuhan dan ketahanan dana, impak kepada pencarum serta memperkukuhkan reputasi LTAT sebagai kumpulan wang simpanan yang boleh dipercayai.
“Saya mengalu-alukan hasrat LTAT untuk mengembangkan dananya kerana ini juga akan membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, selaras dengan aspirasi kerajaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE